Thursday, January 13, 2011

Sejarah Kampung Batu 6 Bakri

     Kampung Batu 6 Bakri telah wujud lama sebelum zaman pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu lagi, iaitu semenjak tahun 1910.   Menurut Tn. Hj. Misbah Abdul Majid, 78 tahun, waktu itu penduduknya tinggal berserakan di tanah milik orang arab, Batu Tujuh, Bukit Keling dan di pinggir-pinggir hutan kerana bercucuk tanam untuk menampung keperluan hidup. 
Pada zaman darurat selepas pendudukan tentera Jepun, untuk mengawasi agar penduduk-penduduk kawasan bakri tidak digunakan oleh pihak komunis sebagai sumber bekalan makanan dan maklumat, pemerintah telah mengumpulkan dan menempatkan mereka; kaum cina di kawasan Bukit Bakri, melayu di kiri kanan jalan dan di tanah milik orang arab.  Allah yarham Tn. Hj. Ahmad bin Mukti (Wak Amat Keledek) mengumpul penduduk Kampung Batu 6 di kiri kanan Jalan Bakri yang dulunya milik orang arab, manakala Allah yarham Tn. Hj. Abdul Rahman (Embah Deraman) mengumpulkan penduduk-penduduk yang berada di kawasan terpencil di Bukit Pengkalan di tanah yang ada sekarang, juga milik orang arab satu ketika dahulu.  Penghulu Yahya, penghulu yang bertugas pada ketika itu telah menamakan kampung itu ‘Kampung Baru’.
   Oleh sebab kedudukan kedua-dua kampung ini bersebelahan, Kampung Batu 6 Bakri kemudian bekerjasama dengan Kampung Baru di bawah satu pakatan.  Mereka bergotong-royong mendirikan rumah-rumah, saling membantu  di dalam hal-hal kenduri kahwin dan kematian, mengadakan kumpulan ‘baraan’ (berkunjung dari rumah ke rumah semasa hari raya) sambil mengalunkan lagu marhaban yang sama.  Sebahagian daripada mereka turut serta membuat kawalan kampung semasa darurat di bawah satu pasukan yang dipanggil ‘Homeguard’.  Kerjasama yang terjalin ini membuatkan hubungan dalam kalangan penduduk kedua-dua kampung sangat erat.

Gambar Kiri, berdiri di kiri ialah Duli Yang Maha Sultan Ibrahim.  Di kanan yang memakai serban ialah Tuan Guru Kiyai Haji Fadhil Banten, pengasas Wirid Khaujakan Negeri Johor.  Gambar kanan: Penghulu Yahya
 
Hubungan yang sedia erat ini dikukuhkan lagi melalui ikatan perkahwinan di antara penduduk Kampung Baru dengan penduduk Kampung Batu 6 Bakri.  Ketua Kampung Batu 6 Bakri sekarang, Tok Mohd Nazir Daim, adalah bukti hubungan yang erat ini: bundanya orang Kampung Baru manakalanya ayahandanya orang Kampung Batu 6.

Homeguard zaman komunis
.
Pada awal tahun 1950an, pendapatan utama bagi kedua-dua kampung ini adalah berasaskan kepada pertanian.  Tanaman utama pada ketika itu ialah pokok getah.  Di Kampung Baru yang sebahagian tanahnya berbukit, para penduduk telah menanam berbagai-bagai pokok buah-buahan termasuklah durian. 
Di sebelah selatan Kampung Baru terdapat sebuah lombong bijih yang besar milik seorang peniaga Cina bernama Toh Yan.  Lombong ini beroperasi pada tahun-tahun 60an dan 70an, memberi pekerjaan kepada ramai penduduk kampung.  Malangnya, bencana telah datang apabila berlaku kejadian empang pecah pada tahun 1977 yang memaksa kepada penutupannya dan kehilangan pekerjaan sebahagian penduduk kampung.
Dahulu, rumah-rumah penduduk Kampung Batu 6, yang namanya diperolehi kerana ia terletak enam batu dari pusat pentadbiran, yakni Bandar Maharani, dan rumah-rumah penduduk Kampung Baru adalah lebih kurang 40 buah semuanya.  Apabila rumah semakin banyak dan penduduk semakin bertambah, pentadbiran pakatan yang selama ini bersatu terpaksa dipecahkan kepada dua; Pakatan Kampung Batu 6 Bakri dan Pakatan Kampung Baru, masing-masing kampung diterajui oleh ketua pakatan yang berlainan.  

Lombong Tinggal dalam kawasan Kampung Batu 6 Bakri; lombong yang terpaksa ditutup akibat bencana empang pecah.  Sekarang ia menjadi lokasi orang ramai memancing terutama pada hari Minggu dan hari-hari cuti umum.